KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) menyarankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta semua anggota Kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendedahkannya secara terbuka secara online.

Ini bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti mereka diketahui rakyat termasuklah harta pasangan masing-masing serta ahli keluarga mereka yang terdekat.

Bagaimanapun, menurut Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar, Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu terlebih dahulu mengisytiharkan hartanya kepada Parlimen sebelum Perdana Menteri dan anggota Kabinet mengisytiharkan harta masing-masing.

“Pada masa ini, anggota Kabinet mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri, manakala ketua di kementerian dan jabatan termasuk Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan anggota tertinggi di dalam perkhidmatan awam mengisytiharkan harta mereka kepada Ketua Setiausaha Negara.

“Pengisytiharan harta kepada SPRM hendaklah dilakukan sebelum dan selepas memegang sesuatu jawatan dengan analisis nilai bersih dilakukan secara berkala, mungkin ia perlu dilakukan setahun sekali,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, di dalam konteks ini, SPRM mempunyai pakar perakaunan forensik dan penyiasat yang boleh meneliti, memeriksa aset yang diisytiharkan serta mengambil tindakan selanjutnya kepada mereka yang gagal mematuhinya.

“Di Filipina, Philippine Centre for Investigative Journalism telah meletakkan pengisytiharan harta Ahli Kongres dan Ahli Kabinet serta pasangan masing masing secara dalam talian.

“Di Thailand, National Counter Corruption Commission turut mewartakan pengisytiharan harta pegawai kanan kerajaan dan pasangan masing masing,” katanya.

Menurut beliau, pengisytiharan harta juga bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan serta boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai.

“Ia juga boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik dan perkhidmatan awam serta mengelakkan tuduhan palsu, selain membantu mengatasi isu pertelingkahan kepentingan dan liabiliti.

“Pengisytiharan harta secara online tidak membawa sebarang bahaya seperti didakwa pihak tertentu, memandangkan senarai 10 orang terkaya di Malaysia yang nama mereka disiarkan setiap tahun di media juga tidak mengalami sebarang masalah,” kata beliau – berita harian