LUMUT-Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong melahirkan rasa kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan kekeliruan kononnya beliau memakai pakaian tentera ala-komunis semasa pemeriksaan barisan tentera baru-baru ini.

Jelasnya, baju tersebut merupakan baju korporat atau “bush jacket” yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan untuk majlis tentera seperti lawatan ke Kem, Pos Keselamatan dan program yang ditentukan oleh penganjur.

Katanya lagi, pakaian seragam tentera adalah eksklusif dan hanya sesuai dipakai oleh pegawai yang telah ditauliahkan sahaja.

“Salah satu sebab kenapa saya dan MENHAN (Menteri Pertahanan Malaysia) Mohamad Sabu memakai pakaian korporat dan bukannya uniform tentera adalah keputusan MENHAN iaitu kami sebagai civilian tidak layak memakainya.

“Ini kerana kami tidak melalui kesukaran serta terlibat dalam latihan ketenteraan sebagaimana yang diharungi oleh anggota tentera.

“Saya tidak tahu siapa yang jadikan perkara remeh ini sebagai isu memandangkan, saya faham kalau dulu menteri pakai seragam tentera jadi ramai tidak tahu ada baju uniform seperti ini,” katanya.

Ching Tong berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas gambar yang tular di media sosial mengatakan beliau memakai uniform ala-komunis semasa pemeriksaan perbarisan ATM dalam lawatan ke kem.

Menurutnya lagi, warna ‘khaki’ baju itu tidak ada kena mengena dengan komunis sebaliknya ia antara rona warna yang sering dipilih untuk uniform tentera di serata dunia.