KUALA LUMPUR : Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan seorang pegawainya telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan cop keselamatan imigresen.

Pegawai imigresen berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam selepas polis menemukan cop keluar masuk imigresen dan pelekat imigresen di dalam sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.

Pemeriksaan polis di dalam kenderaan wanita itu turut menemukan dua pasport atas nama seorang warganegara China, satu pasport atas nama warganegara Indonesia dan sekeping kad pengenalan merah disyaki milik seorang warganegara Filipina.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.

“Kita tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang tidak berintegriti serta terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika pegawai berkenaan dibuktikan bersalah.