KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sabah mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah ke negeri ini apabila merampas syabu bernilai RM570,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, seorang lelaki berusia 35 tahun yang berstatus pemastautin tetap cuba mengabui pihak berkuasa dengan memasukkan dadah berkenaan ke dalam bungkusan teh hijau sebelum disimpan di dalam bagasi miliknya.

Bagaimanapun, ketika melalui mesin imbasan, anggota penguat kuasa JKDM menyedari imej mencurigakan pada beg suspek dan pemeriksaan lanjut menemui lapan bungkusan mengandungi syabu.

Pengarah JKDM Sabah, Datuk Hamzah Sundang, berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu membawa dadah seberat 8.129 kilogram.

Katanya, dadah berkenaan disimpan dalam paket teh hijau berjenama sebelum disorok di dalam kain selimut dan beberapa helai pakaian.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan. Suspek melarikan diri ke kawasan gelap di parkir KKIA dan anggota Kastam yang cuba mengejar terpaksa menghentikan usaha itu atas dasar keselamatan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Hamzah berkata, kes cubaan menyeludup dadah menerusi perkhidmatan udara ini adalah yang pertama dilaporkan tahun ini membabitkan Kastam Sabah.

Sehubungan itu, katanya, mekanisme pemeriksaan bagasi penumpang di lapangan terbang perlu dikaji semula untuk memantapkan penguatkuasaan agensi berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa lapangan terbang perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) mereka dengan memberi pihak Kastam lebih kemudahan untuk memantapkan kaedah pemeriksaan penumpang ‘Out Bound’ Domestik – berita harian