Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak masih dalam proses mengenalpasti punca sebenar keracunan makanan yang dipercayai menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut pada 5 Jun lepas.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming berkata buat masa ini sampel makanan telah diambil daripada beberapa lokasi untuk tujuan analisis makmal.

.“Di dalam episod keracunan makanan, praktis standard adalah untuk mengambil sampel makanan daripada lokasi-lokasi yang disyaki, di mana hidangan makanan tersebut disediakan dan dikendalikan.

“Dalam kes ini, sampel makanan telah diambil daripada gerai yang disyaki di Gelung Pepuyu dan juga kediaman keluarga yang terlibat,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Selasa.

Lay Ming mengulas perkembangan siasatan terhadap sampel makanan yang dikumpul oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak untuk tujuan analisis kandungan.

“Analisis bakteria dan kimia terhadap sampel makanan akan memakan masa sekitar dua minggu. Buat masa ini, tiada sebarang kes baru yang dilaporkan berlaku,”ujarnya lagi.

Lay Ming berkata beliau ingin menasihati kesemua pihak untuk memastikan kebersihan serta keselamatan makanan dan kaedah menyediakannya.

“Amalkan tahap kebersihan optimum, pastikan persekitaran selamat dan bersih, dan gunakan peralatan dapur yang bersih. Cuci tangan kita, asingkan antara makanan basah atau mentah, dengan makanan lain.

“Bekukan makanan dengan segera sekiranya ia tidak dimakan serta masaklah makanan anda yang suhu berpatutan, makan makanan segar dan berikan sepenuh perhatian kepada setiap barangan makanan anda beli,”katanya lagi.

Lay Ming juga menasihatkan untuk sentiasa memerhati dan memilih sebelum menggunakan makanan serta melihat, hidu dan rasa makanan sebelum memakannya.

“Jangan tinggalkan makanan di dalam suhu bilik, lebih daripada empat jam dan sejuk bekukan atau panaskan dengan peratan dapur lebih berhat-hati,”katanya.

Sebelum ini, Astro Awani pada 7 Jun lepas melaporkan tiga beradik yang disyaki mengalami keracunan makanan dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan di Hospital Seri Manjung.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming sebelum ini mengesahkan jabatan itu menerima laporan kejadian keracunan makanan membabitkan tujuh sekeluarga di Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar pada 2 Jun lepas.

Dalam insiden menyayat hati itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut akibat komplikasi ketika menerima rawatan di HSM Selasa lalu manakala tiga lagi adik beradiknya turut dirawat di hospital sama.

Gejala dialami mereka adalah sakit perut, cirit-birit, muntah, dehidrasi, keletihan dan demam serta seorang mengalami sawan, bermula antara jam 1 hingga 5 pagi pada Jumaat lalu.