IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak memeriksa 167 premis yang menjual rokok seperti kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai 24 jam dalam operasi khas pada 22 dan 23 Mei lalu yang melibatkan 84 anggota kesihatan di seluruh negeri.

Pengarahnya, Dr Ding Lay Ming berkata, objektif operasi itu adalah untuk memastikan penjual mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mengenai penjualan / pelabelan kotak rokok

Di samping itu, operasi itu juga bertujuan untuk memastikan orang ramai mematuhi kawasan larangan merokok di 22 tempat awam yang digazetkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Skop penguatkuasaan sepanjang operasi ini meliputi semua peruntukan yang terdapat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil operasi itu, sebanyak 28 Notis 32B telah dikeluarkan kepada pesalah dengan amaun kompaun berjumlah RM10,750 telah ditawarkan kepada pesalah di samping rampasan 126 paket serta dua karton rokok yang bernilai RM10,334.20.

Daripada 28 notis itu, kesalahan tertinggi ialah penjualan rokok di bawah harga minima RM10 iaitu 12 notis, diikuti kesalahan merokok di pusat membeli belah (10), merokok di kawasan hospital/klinik (3), menjual rokok pada harga tidak dibenarkan KKM (2) dan menjual rokok yang tiada tanda amaran kesihatan bergambar (1).

Dr Ding memberitahu, bagi kesalahan merokok di kawasan larangan dan orang belum dewasa, kompaun RM250 telah ditawarkan manakala kesalahan lain pula ditawarkan kompaun RM500.

“Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, orang yang kena notis boleh datang ke mana-mana Jabatan Kesihatan Daerah seluruh negara dalam tempoh 30 hari dan jika gagal, akan diambil tindakan mahkamah,” ujarnya sambil menambah, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penjual rokok supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti tidak menjual kepada remaja bawah 18 tahun, tidak menjual dengan peket terbuka dan tidak menjual kurang daripada harga minima RM10.