IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak tetap memandang serius isu Rotavirus di Bukit Merah Laketown Resort walaupun ia merupakan insiden yang terpencil.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kejadian lebih besar dan bakal menjejaskan keyakinan orang ramai, khususnya pelancong.

Beliau memberitahu, setakat ini, pihak pengurusan kolam adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan kualiti kolam memenuhi tahap kualiti piawaian.

“Atas keprihatinan Kementerian Kesihatan Malaysia, usaha bagi memperkenalkan dan mengguna pakai Deraf Garis Panduan Kolam Renang untuk operator kolam renang telah dibuat,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Isnin.

Di samping itu, kata Dr Mah, demi menjaga keselamatan pengunjung, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah mengambil inisiatif untuk memastikan tahap kolam-kolam renang di negeri ini sentiasa bersih dan selamat.

Menurutnya, antara langkah yang telah diambil termasuklah, membuat penilaian risiko terhadap kolam yang tersenarai; mengadakan latihan mengenai garis panduan kolam renang dan operator kolam dan memberi khidmat nasihat teknikal.

Merujuk mengenai isu krematorium moden di Buntong, beliau memberitahu, Sijil Layak Menduduki (CCC) bertarikh 18 November 2016 telah dikeluarkan kepada pihak juru perunding.

Mengenai perkhidmatan MyBas yang beroperasi di Bandaraya Ipoh sejak 1 Jun lalu, Dr Mah berkata, pihak SPAD telah melaksanakan beberapa program promosi seperti pengedaran `flyers’, bunting, pelancaran, hebahan melalui laman sesawang dan iklan di media cetak.

“Usaha promosi akan diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri, SPAD serta Majlis Bandaraya Ipoh dan pihak kerajaan juga telah melipat gandakan usaha promosi melalui media massa, termasuk Perak FM,” ujarnya.