IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memberi komitmen untuk melaksanakan program sekolah angkat, seperti yang disarankan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, bagi meningkatkan prestasi sekolah `tercorot’ di setiap daerah.

Pengarahnya, Mat Lazim Idris berkata, berdasarkan kepada fokus cadangan itu, tumpuan akan diberikan kepada sekolah-sekolah dalam Band (tahap) 5 dan 6 (tahap paling rendah ialah Band 7).

Menurut beliau, buat masa ini, di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, terdapat program transformsi pendidikan daerah.

Melalui program itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) turun padang secara berkala untuk membantu membimbing sekolah pada band 4 – 6 dalam semua aspek bagi meningkatkan pencapaian dari segi pengurusan, pengajaran dan pembelajaran.

“Cadangan Menteri Besar memang selari dengan apa yang ada tetapi boleh dimantapkan lagi secara bersama antara jabatan dan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas program Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baru 2017 Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Mat Lazim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meletakkan bidang pendidikan sebagai salah satu fokus 2017.

“Sebenarnya, kami tidak menjangka kerajaan negeri akan meletakkan bidang pendidikan ini sebagai salah satu fokus utama…insya Allah, kami akan mengambil tindakan untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar,”

“Cadangan-cadangan yang dikemukakan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Perak amat baik dan sangat dialu-alukan dan saya rasa ini satu lagi peluang untuk kerjasama baik antara kami dengan kerajaan negeri,” ujarnya.

Pengarah Pendidikan itu memberitahu, setakat ini terdapat 1,110 buah sekolah rendah dan menengah di Perak dan hanya terdapat sebuah sekolah sahaja, iaitu SK RPS Banun yang diletakkan pada Band 7.

“Sekolah inipun sebenarnya kita sudah ada tindakan di mana sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk kemajuan sekolah yang dilaksanakan sejak tahun lalu dan impaknya telah nampak,” katanya sambil menambah, impak paling ketara ialah peningatan keputusan UPSR baru-baru ini.