IPOH: Jabatan Penerangan Perak telah menggerakkan jentera bagi membantu menyampaikan maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di semua 12 daerah di negeri itu.

Kenderaan unit bergerak jabatan itu digunakan untuk membuat hebahan selaras arahan kerajaan negeri Perak agar semua jentera kenderaan digembeling membantu usaha mencegah COVID-19.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Mohd Taib Ubah berkata, semua pejabat penerangan daerah diarah membuat hebahan dari semasa ke semasa untuk menyedarkan masyarakat berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan dan bahaya COVID-19.

Hebahan tersebut dilakukan di kawasan-kawasan tumpuan seperti pasar, premis perniagaan, perumahan, perkampungan, Tanah Rancangan Felda dan penempatan Orang Asli.

Ia dilakukan tiga kali sehari iaitu di sebelah pagi, tengahari dan petang dalam empat bahasa, Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin.

Jabatan Penerangan merayu orang ramai supaya memberi kerjasama serta mematuhi arahan kerajaan dari semasa ke semasa untuk membenteras penularan COVID-19.