KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati cuai atau tidak melaksanakan tugas dengan sempurna sehingga menyebabkan seorang banduan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia, Supri Hashim, berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kematian M Mariappan, seorang banduan Penjara Bentong pada 6 Jun lalu.

Katanya, siasatan akan meneliti semua aspek termasuklah unsur kecuaian, kelemahan, kebersihan dan rawatan.

“Penama, Mariappan A/L Manivannan ditempatkan di ‘sick bay’ klinik Penjara Bentong untuk pemantauan dan rawatan lanjut kerana masalah cirit-birit sebelum menerima rawatan di Hospital Bentong pada 4 Jun 2018.

“Kemudian pada 6 Jun 2018, dia dibawa ke Klinik Kesihatan Mempaga untuk rawatan lanjut. Semasa rawatan itu, penama kemudian disahkan meninggal dunia, dia sebelum itu turut dibawa beberapa kali ke klinik penjara untuk tujuan rawatan.

“Berasaskan prosedur kerja, beberapa tindakan yang ditetapkan semasa menguruskan kematian berkenaan sudah diambil antaranya membuat laporan polis, memaklumkan kepada koroner untuk tujuan lawatan dan inkues, memaklumkan kepada keluarga, melaksanakan post mortem dan menubuhkan Lembaga Siasatan Dalaman untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sukri berkata, pihaknya juga akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes berkenaan.

“Jabatan Penjara juga amat mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas atau Pasukan Khas bagi meneliti isu kesihatan dan kematian penghuni Penjara.

“Jabatan Penjara akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan berkenaan kerana ia akan membantu meningkatkan lagi pengurusan kesihatan penghuni serta keperluan lain yang berkaitan.

“Malah Jabatan Penjara sebelum ini bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang datang ke penjara untuk memeriksa serta menyiasat atau menjalankan kajian berhubung kesihatan dan kematian penghuni,” katanya.

Pada 8 Jun lalu, media melaporkan Mariappan, banduan di Penjara Bentong, meninggal dunia pada di Klinik Kesihatan Mempaga, Bentong ketika menerima rawatan pada jam 12.40 pagi, 6 Jun lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman, dilaporkan sebagai berkata, mendiang disahkan meninggal dunia akibat cirit-birit kerana jangkitan kuman pada usus perut atau ‘severe acute gastroenteritis’ – berita harian