TAIPING – Jabatan Penjara Perak menyahut seruan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Jabatan Penjara Malaysia mengusahakan penanaman sejuta pokok buah-buahan di seluruh negara dengan fasa permulaan sebanyak 1,000 pokok.

Pengarahnya, Tan Tian Heng berkata, fasa permulaan sebanyak 1,000 pokok pelbagai jenis buah-buahan akan diusahakan ditanam di tiga kawasan penjara di negeri ini.

“Penjara Taiping, Penjara Tapah dan Pusat Koreksional Kamunting, Taiping adalah antara penjara yang terlibat dan tiga kawasan itu dipilih kerana mempunyai kawasan yang luas dan boleh ditanam dengan pokok buah-buahan sekali gus dapat menghijaukan kawasan persekitaran.

“Antara pokok buah-buahan akan ditanam seperti durian musang king, rambutan, durian belanda dan manggis,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program menanam pokok buah-buahan peringkat Penjara Taiping di sini, hari ini.

Tian Heng berkata, program itu bertujuan mendidik masyarakat terhadap kepentingan bercucuk tanam bagi dijadikan sumber pendapatan samping dan di samping mengekalkan persekitaran yang sihat.

“Jabatan Penjara Perak turut menggalakkan kakitangan untuk menanam pokok buah-buahan di kawasan rumah sebagai menyahut seruan KDN dan pokok ditanam itu hendaklah dijaga supaya ia dapat mengeluarkan hasil yang boleh dimakan dan dijual kepada kakitangan dan orang luar,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, Pusat Koreksional Kamunting kini sudah berfungsi sebagai sebuah ‘penjara agro’ dengan melaksanakan beberapa projek seperti ternakan lembu, tanam rumput napir dan sayur-sayuran yang diusahakan kakitangan dan banduan pusat itu.

“Selain inisiatif sara diri dan latihan kepada banduan, program tanaman pokok buah-buahan akan memberikan ekosistem yang baik untuk manusia kerana ia membekalkan oksigen dan karbon monoksida selain menstabilkan suhu.

Sementara itu, Tian Heng berkata, setakat ini Perak mempunyai 6,000 banduan di lima penjara yang diselia Jabatan Penjara Perak,” katanya – sinar