Ipoh – Jabatan Perhutanan Negeri telah diarahkan untuk memberi laporan terperinci kepada kerajaan negeri berhubung kerja pembalakan di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar yang didakwa telah menjejaskan kualiti air Sungai Jumheng Temengor,

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata jabatan tersebut perlu memberi laporan tersebut dalam masa terdekat.

“Kelulusan diberikan kepada syarikat terpilih pada tahun 2008/2009 atas Tanah Kerajaan Mukim Temengor berhampiran RPS Pos Khemar seluas 1966 hektar bagi tujuan pembangunan Rancangan Penempatan Orang Asli dan tanaman getah oleh agensi Risda.

“Setiap syarikat dikenakan bayaran pampasan RM50,000 bagi tujuan tanaman getah tersebut.

“Sehingga kini 9 blok telah siap diusahasil dan satu blok lagi sedang dalam usahasil iaitu Syarikat Hayat Pelangi melibatkan keluasan kawasan lesen Syarikat seluas 186 hektar,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Di Bangunan SUK Negeri Perak, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, tempoh asal lesen ini adalah pada 16 Feb 2017 hingga 15 Ogos 2017 dan telah diperbaharui buat kali kedua bagi tempih 16 Feb 2018 sehingga 15 Ogos 2018.

“Pejabat Hutan Daerah akan membuat semakan di lapangan dan memberhentikan sementara kerja-kerja pengusahasilan di kawasan ini bagi mengenalpasti punca kekeruhan sungai seperti yang didakwa,“ tambah beliau.

Beliau berkata satu mesyuarat penyelarasan pembangunan Pos Kemar telah diadakan pada 18 Julai 2018 yang lalu yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak.

“Mesyuarat tersebut juga telah memutuskan supaya kerja kerja pengusahasilan diteruskan satu laporan terperinci akan disediakan
Jabatan Perhutanan Negeri akan dikemukakan kepada saya dalam masa terdekat,“ katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Datuk Mohamed Zin Yusop menerusi maklumat awal kepada menteri besar, telah mengarahkan Pegawai Hutan Daerah Hulu Perak membuat semakan di lapangan dan satu pasukan telah digerakkan ke kawasan tersebut.

Menurutnya, hasil semakan jabatan mendapati pindaan tempoh lesen adalah ukuran dari pembaharuan tempoh lesen yang diluluskan iaitu dari 16 Feb 2018 hingga 15 Ogos 2018 dan keadaan dan kualiti air sungai Jemheng adalah baik berdasarkan semakan berdasarkan koordinat yang diberi.

Beliau tidak menolak kemungkinan gambar-gambar yang disebarkan adalah gambar lama.