BERA: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mematahkan cubaan memindahkan 2,400 balak pelbagai jenis bernilai kira-kira RM3 juta di Hutan Simpan Chini dan Chini Tambahan, dekat sini.

Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata susulan aduan orang ramai, pihaknya melancarkan Ops Ganyang membabitkan 20 anggota penguat kuasa diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa, Mohd Rahim Ramli, selama tiga hari sejak Sabtu hingga semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan berkenaan menemui sembilan longgokan balak sedia untuk dipindahkan bersama tiga jentolak yang digunakan sindiket terbabit untuk melakukan aktiviti itu.

Katanya, siasatan percaya kegiatan itu didalangi beberapa individu berpengalaman luas dengan aktiviti pembalakan hingga sukar dikesan pihaknya.

“Aktiviti pembalakan berlesen berhampiran tempat berkenaan, digunakan sebagai helah mengelak kegiatan haram mereka dikesan anggota penguat kuasa dan kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera.

“Kami memandang serius kegiatan ini dan usaha membendung aktiviti memindahkan balak tanpa lesen akan terus dipertingkatkan di negeri ini,” katanya yang meninjau lokasi kejadian itu, semalam.

Mohd Hizamri berkata, sindiket yang mendalangi kegiatan itu hanya memilih kayu berkualiti tinggi dan mempunyai permintaan tinggi kilang papan seperti meranti, keruing, kempas dan merbau.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan bagi mengenal pasti dalang yang terbabit untuk didakwa ke mahkamah mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Katanya, unit penguatkuasa diberi masa dua minggu untuk menyelesaikan kes terbesar tahun ini sebelum pihak terbabit sedia disabitkan dengan kesalahan dilakukan. Unit Forensik jabatan itu juga dibawa untuk melengkapkan bukti.

“Bagi membendung kegiatan pembalakan haram di negeri ini kita akan terus menggunakan sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS Plus) yang dibangunkan ibu pejabat, selain dron.

“Peruntukan RM1 juta turut akan digunakan untuk memperkuatkan lagi penguatkuasaan di peringkat negeri dan daerah,” katanya – berita harian