IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku sebarang unsur ugutan terhadap komuniti Orang Asli Kampung Cunex, Gerik, dekat sini.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, beliau mengambil maklum dakwaan itu, susulan tindakan membina halangan sebagai protes kepada aktiviti pembalakan berhampiran tempat tinggal mereka.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati, pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah bertemu dengan komuniti Orang Asli berkenaan baru-baru ini bagi memberi penerangan mengenai akiviti pembalakan di kawasan berdekatan.

“Sepanjang berurusan dengan bantahan oleh komuniti Orang Asli di Perak, jabatan tidak pernah menggunakan sebarang ugutan atau kekerasan ke atas mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, pihak jabatan sedia memberikan kerjasama untuk membantu siasatan susulan laporan polis yang difailkan oleh wakil komuniti Orang Asli Kampung Tasik Cunex,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau mengulas laporan sebuah portal mengenai dakwaan penduduk Orang Asli di Gerik bahawa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) menceroboh kawasan tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Mohamed Zin bagaimanapun memaklumkan bahawa kawasan pembalakan yang diluluskan adalah kawasan Hutan Simpan Air Chepam dan bukannya terletak dalam kawasan tanah adat seperti yang didakwa oleh komuniti Orang Asli Tasik Cunex.

Menurut beliau, negeri Perak juga mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara iaitu seluas 7744 ha setahun dengan mengamalkan pembalakan terpilih atau ‘selective logging’ di mana hanya pokok-pokok yang menepati piawaian dibenarkan ditebang selepas melalui proses ‘tagging’.

Justeru, kata beliau, dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) kononnya aktiviti pembalakan di Perak tidak terkawal adalah tidak berasas sama sekali.