IPOH: Jabatan Warisan Negara sedang mengumpulkan senarai tokoh terkenal yang boleh diketengahkan sebagai salah satu pakej dalam pelancongan agama, khususnya `Islamic Tourism.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, senarai ini diharap dapat melengkapkan lagi pakej yang baru diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, pakej pelancongan menerusi ‘Jejak Masjid’ itu menyatakan kedudukan tujuh masjid lama yang mempunyai reka bentuk unik, antaranya Masjid Panglima Kinta, Masjid Kampung Paloh, Masjid Pakistan, Masjid Cina dan Masjid India Muslim.

“Kita harap dengan adanya kerja-kerja yang dijalankan oleh Jabatan Warisan ini akan melengkapi jejak masjid dari segi sejarah dan tokoh-tokoh yang ada, yang boleh dikongsi bersama, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga di seluruh dunia,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Radzi Zainon (PAS – Sungai Rapat) semasa sidang DUN pada Jumaat.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Datuk Siti Salmah Mat Jusak (BN – Lubuk Merbau), Nolee berkata, daerah Kuala Kangsar dipromosikan oleh kerajaan negeri melalui Tourism Perak secara keseluruhan, termasuk barangan kraft.

Bagaimanapun, kata beliau, ia dipromosikan secara keseluruhan dengan memasukkan elemen makanan, warisan dan sebagainya yang akan dijadikan pakej yang mampu menarik pengunjung dari pelbagai segmen.

“Usaha yang dijalankan oleh pihak Jabatan Kraftangan merupakan satu titik tolak yang sepatutnya diambil peluang oleh pengusaha-pengusaha kraft di sekitarnya,” ujarnya.