Jadi NGO Yang Terus Relevan – Dr Zambry
IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini terus menjadi relevan.
Menurut beliau, untuk itu, mereka tidak harus hanya menjaga kepentingan ahli, sebaliknya mampu memberi semula kepada masyarakat.
Beliau berkata, sebagai kuasa ketiga terbesar selepas kerajaan dan pentadbir, NGO turut memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat pembangunan negeri.
“Kalau tiada NGO sukar untuk kita mencapai matlamat yang diharapkan,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Konvensyen NGO 2017 di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuas Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menerima teguran daripada mana-mana pihak, termasuk daripada NGO.
Menurut beliau, sebagai manusia, pemimpin bukanlah sempurna dan mempunyai kelemahan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, kelemahan-kelemahan itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, dengan kerjasama semua pihak.
Dalam pada itu, kata beliau, program antarabangsa yang dianjur seperti Temasya Idea dan Pangkor Dialogue bukanlah bertujuan untuk mendapat pengiktirafan daripada mana-mana pihak.
Sebaliknya, tambah beliau, program seumpama itu mampu memberi impak yang cukup besar kepada ekonomi negeri.
Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan geran kepada 42 persatuan penduduk dari seluruh negeri, masing-masing menerima RM10,000.