AYER TAWAR: Rakyat perlu menjadi pengguna bijak dengan membuat pilihan terbaik, sesuai dengan taraf hidup mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawa dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai alternatif untuk mereka membeli belah.

Menurut beliau, rakyat boleh membeli belah di beberapa tempat yang ada seperti pasaraya, kedai, pasar dan juga pasar-pasar tani dan pasar malam.

“Kalau ada wang lebih mereka boleh membeli belah di pasaraya dan juga boleh di pasar malam misalnya kerana kualitinya juga baik dengan harga yang lebih murahnya,” katanya kepada Suara Perak selepas walkabout di Pasar Malam Ayer Tawar di sini pada Rabu.

Pasar malam itu yang disertai kira-kira 100 peniaga dikendalikan oleh Koperasi Persalam.

jadi-pengguna-bijak 4

Samsudin berpendapat, pengurusan pasar malam ini sangat berjaya kerana menawarkan hanya sewa tapak hanya RM5 semalam di samping menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM100,000.

Bagaimanapun, kata beliau, rata-rata peniaga di situ hanya membuat pinjaman antara RM5,000 dan RM10,000.

“Dengan adanya kemudahan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah, dapat mengelakkan peniaga terlibat dengan pinjaman ah long,” ujarnya.

Sementara itu, Samsudin berkata, hasil tinjauan di pasar awam Beruas bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sebelah pagi, didapati peniaga mematuhi Akta Perihal Dagangan dan Anti Pencatutan 2011.

“Lawatan Menteri Besar membuktikan keprihatinan beliau terhadap semua lapisan rakyat, baik di kampung, mahupun di bandar, untuk mendengar sendiri masalah mereka,” kata beliau.