IPOH – Misteri kehilangan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Gurap di Jalan Kuala Kangsar di sini, akhirnya terjawab setelah perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang lelaki kurang siuman.

Lelaki berkenan dilaporkan berada di tanah perkuburan itu sejak tiga hingga empat minggu lalu dan menjadikan perkuburan di situ sebagai tempat tidur.

Pihak pengurusan jenazah Tanah Perkuburan Islam Gurap, Ahmad Din, 67, berkata, kawasan itu mudah dimasuki walaupun berpagar kerana terdapat pintu kecil yang tidak berkunci bagi memudahkan waris menziarahi pusara ahli keluarga masing-masing.

Menurutnya, lelaki itu pada awalnya tidak bertindak agresif namun lama-kelamaan mencabut batu nisan yang ada dan menjadikannya sebagai tempat tidur.

“Bukan setakat itu sahaja, lelaki itu juga membaling batu nisan merata-rata kawasan dan sebahagiannya menyebabkan tandas pecah. Bimbang kejadian lebih buruk berlaku, kami menghubungi polis,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas status yang tular di Facebook berhubung misteri kehilangan batu nisan.

image (4)Melalui status yang dimuat naik itu memaklumkan perkara itu disedari ketika pemilik akaun Facebook terbabit menziarahi pusara ahli keluarga, baru-baru ini.

Ahmad berkata, kejadian itu berlaku lebih dua minggu lalu dan lelaki berkenaan sudah ditahan polis.

“Saya difahamkan, lelaki itu pun sudah ditempatkan di Tanjung Rambutan (Hospital Bahagia Ulu Kinta) untuk menjalani rawatan,” katanya.

Katanya, pihak pengurusan tanah perkuburan turut menjalankan aktiviti pembersihan di kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada lagi kejadian seumpama itu berlaku dan kerosakan batu nisan juga sudah diganti,” katanya.

Beliau berkata, mereka kini sedang giat untuk mengumpul dana bagi pembinaan pagar yang lebih selamat di tanah perkuburan itu.

Katanya, pagar berkenaan diharap dapat mengelakkan insiden sama berulang pada masa depan.

“Setakat ini, kami berharap ada pihak yang dapat salurkan sumbangan dana kepada kami bagi tujuan untuk bina pagar,” katanya.

-Sinarharian