Oleh: Noor Aida Abd. Aziz

IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masjid perlu dijadikan institusi pembelajaran sepanjang hayat.

Menurutnya, institusi masjid merupakan tempat perpaduan dan bukannya tempat untuk meraikan perbedaan.

“Masjid mesti diimarahkan dan dipenuhkan dengan aktiviti serta tempat untuk belajar. Bukan tempat untuk kita berbeda pendapat tambah pula kita pegang macam-macam warna.

“Saya ini buta warna bila masuk dalam masjid, kalau kita berbeda pun mesti ada adab-adab untuk menangani perbedaan pendapat,” katanya dalam ucapan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, di sini pada malam Isnin.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3.5 juta untuk pembesaran bangunan masjid jamek berkenaan.

masjid-pusat pembelajaran 2

Katanya, dari jumlah tersebut, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bersetuju untuk menyumbang RM1 juta manakala beliau pula sebanyak RM2.5 juta.

Timbalan Perdana Menteri menghadiri majlis berbuka puasa sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Peringkat Perak.

Program itu kemudiannya disusuli dengan solat Isyak, terawih dan moreh bersama-sama 1,500 jemaah dan tetamu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

 

masjid-pusat pembelajaran 3