KUALA KANGSAR: Rakyat di Parlimen Kuala Kangsar dinasihatkan menjadikan peristiwa hitam Perak di bawah kerajaan pembangkang selama 11 bulan pada 2008 sebagai pengajaran bagi Pilihan Raya Kecil ( PRK) akan datang.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata, mereka seharusnya mengingati penderitaan yang berlaku kepada masyarakat setempat berikutan pentadbiran kerajaan campuran antara PKR, DAP dan PAS yang menyebabkan negeri menjadi kucar-kacir.

“Kuala Kangsar tidak pernah kalah sejak pilihan raya dimulakan di Malaysia, jadi kita harus mengekalkan kemenangan itu agar sejarah hitam pada 2008 itu tidak akan berulang.

“Penderitaan selama 11 bulan itu saya rasa sudah cukup, dan sekarang ini saya rasa semangat kita untuk menang adalah lebih hebat,memanglah menang tak menang kita tetap kerajaan tapi kalau boleh kita hendak kemenangan itu kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Gerak Kerja (PRK 067) anjuran Veteran UMNO Negeri Perak dan MUBARAK Perak di Dewan Orang Ramai Bukit Chandan pada petang Jumaat.

Tambahnya, Kuala Kangsar merupakan sebuah bandar yang dikagumi serta disanjungi ramai, justeru ianya perlu diterajui oleh BN yang sentiasa memastikan bandar tersebut terus dibangunkan.

Tajul Rosli berharap agar peti undian di kawasan Parlimen P067 itu akan kekal putih seperti Padang Rengas, Larut dan Gerik agar kredibilitinya sebagai bandar yang dikagumi ramai tidak akan tercalar.

Katanya, seramai 4,800 veteran UMNO yang dibentuk menjadi satu keluarga di Kuala Kangsar akan menyatakan sokongan penuh dan menyumbangkan undi mereka kepada kepimpinan dan calon Barisan Nasional tanpa berbelah bahagi.

“Biarpun siapa calon, kenalah hebat kerana kalau tak mesti pengundi akan marah, undi itu memanglah akan undi tetapi nanti marahlah kalau tak hebat.

” Kita boleh terima orang luar, tak ada masalah pada kita. Kita sebagai ahli UMNO kita kena lupakan apa juga masalah yang ada dan sebagai ahli kita kena pastikan kita menang dalam PRK kali ini.

“Pada kita senang sahaja, siapa nak bertanding boleh bertanding jadi kita minta supaya ahli UMNO dan BN untuk mengundi beliau, siapa yang bersimpati dengan BN atau sesiapa yang yakin dengan BN, undilah BN.

Turut hadir, Pengerusi Veteran Negeri Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir, Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Mohamad Kamil Shafie dan barisan veteran UMNO Kuala Kangsar.