GEORGETOWN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pasukan keselamatan memainkan peranan untuk memastikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai pemilihan paling bersih dan bebas daripada sebarang isu keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat bergantung harap kepada pasukan keselamatan untuk memastikan keamanan terpelihara.

Katanya, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi halangan apabila menyentuh mengenai isu keselamatan.

“Biar PRU-14 ini menjadi pilihan raya paling bersih dan bebas daripada sebarang isu berkaitan keselamatan negara,” katanya berucap ketika membuat lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan negara dan ia perlu diterjemahkan dalam tindakan pasukan itu.

Terdahulu dalam lawatan itu, Ahmad Zahid yang diiringi Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan tiba di IPK berkenaan jam 9.15 pagi.

Ia adalah lawatan terakhir Ahmad Zahid ke IPK seluruh negara.

Beliau kemudian memeriksa perbarisan kawalan kehormatan sebelum menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis Kontinjen Pulau Pinang.

Seterusnya Ahmad Zahid melawat bilik gerakan Pilihan Raya Umum (PRU) kontinjen itu dan menghadiri taklimat PRU yang diadakan secara tertutup di bilik mesyuarat utama IPK itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) – berita harian