Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Ramadan kali ini amat terkesan buat sebuah keluarga di Tambun, dekat sini, setelah bapa yang menjadi tulang belakang mereka terlantar sakit sejak awal tahun ini.

Tugas menyara keluarga Faizal Zainal Abidin, 33, kini diambilalih oleh isterinya, Ellinkaningsi Saprawi atau Saodah 23, untuk memastikan segala keperluan mereka lima beranak dipenuhi.

Lebih malang, Saodah yang memiliki tiga orang anak berusia sembilan bulan dan empat tahun terpaksa pula berhenti kerja bagi menjaga suaminya yang lemah setelah otaknya dijangkiti kuman pada Januari lalu.

“Ramadan kali ini terasa begitu sedih sekali sebab suami cuma terbaring di atas katil. Anak-anak pun rindu ayah mereka bawa ke bazaar Ramadan seperti tahun sebelumnya,” kata Saodah.

Menurutnya, suaminya yang sebelum ini berniaga burger di Pekan Tambun disahkan menghidap jangkitan kuman di otak adalah susulan penyakit tibi yang menyerangnya pada April tahun lalu.

saodah

Pada mulanya, kata Saodah, kesihatan Faizal seakan-akan pulih apabila boleh bermain dan menjaga anak-anak manakala dia keluar bekerja.

Namun, katanya, lapan bulan selepas itu, badan Faizal tiba-tiba kaku sehingga dia dikejarkan ke hospital.

“Seluruh badannya kejang dan saya menyangka dia telah lumpuh. Malah, ketika sedar dari koma keesokan harinya, luluh hati saya apabila dia tidak ingat kepada saya dan anak-anaknya,” katanya

Katanya, walaupun kini ingatan suaminya beransur pulih namun pergerakannya agak terhad malah berat badannya susut mendadak sehingga menjadi kurus kering.

“Ada yang kata hayat suami mungkin tak panjang disebabkan jangkitan kuman pada otaknya. Saya serahkan kepada Allah. Saya perlu kuat kerana anak-anak masih kecil,” katanya yang tidak dapat menahan hiba.

Bagi menyara keluarganya, Saodah kini membuat biskut raya selain menawarkan khidmat penghantaran bakso dari rumah ke rumah.

“Walaupun berhempas pulas, pendapatan saya masih tidak mencukupi. Sewa rumah, bil elektrik dan keperluan anak seperti lampin pakai buang, susu dan makanan bayi sahaja boleh mencecah RM600.

“Ini belum dikira duit untuk membeli makanan setiap hari. Ada kalanya saya buntu,” katanya.

Bercakap mengenai persiapan Hari Raya, Saodah berkata beliau tidak mengharapkan apa-apa selain untuk melihat suaminya pulih seperti sedia kala.

“Kepada dermawan yang membantu, saya mengucapkan terima kasih, hanya Allah dapat membalas jasa anda,” katanya.

Ketika diajukan soalan, Faizal hanya mampu menangis sambil memegang erat tangan isterinya dan berkata, beliau tidak mampu melaksanakan amanahnya.

“Doakan saya, saya nak tengok anak saya membesar, saya nak jadi ayah yang baik,” katanya dengan suara terketar-ketar.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Ellikaningsi Saprawi di nombor 08013023927086 Bank Islam.