TELUK INTAN – Semua persatuan alumni sekolah perlu menjaga kebajikan ahlinya disamping menyumbang kembali kepada bekas sekolah masing-masing dengan seimbang.

Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari Sungai Sumun, Bagan Datuk, Ahmad Kidzbullah Ridzuan berkata, menyedari kepentingan menjaga kebajikan ahli persatuan alumni sekolahnya itu, mereka sebulat suara memperkenalkan skim khairat kematian berkelompok kepada ahli.

“Sebelum ini kami ada menyediakan tabung kebajikan untuk alumni yang diperoleh daripada sedekah serta wakaf ahli persatuan dan melalui tabung ini kami membantu ahli yang sakit serta meninggal dunia.

“Sekiranya berlaku kematian kami akan menyumbang RM200 kepada keluarga simati manakala jika ahli persatuan alumni kami sakit dan dimasukan ke hospital selama tiga hari dia juga akan menerima sumbangan RM200,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Kidzbullah berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Persatuan Alumni SMK Khir Johari Sungai Sumun bersama Etiqa Takaful Skim Khairat Kematian (Berkelompok) di Hotel Grand Court, Teluk Intan, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, wang sumbangan yang diberikan itu tidak mencukupi bagi pengurusan jenazah lebih-lebih lagi dalam meringankan beban keluarga simati, maka dengan itu Persatuan Alumni SMK Khir Johari mengambil keputusan untuk menyediakan skim khairat kematian berkelompok bersama Etiqa Takaful.

“Setiap ahli hanya perlu membayar RM25 setahun dan sekiranya berlaku kematian ahli keluarga mereka akan menerima RM2,500. Jika pasangan mereka meninggal dunia, mereka akan menerima RM1,500 begitu juga RM500 bagi tiga anak yang meninggal dunia.

“Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menguruskan pengebumian disamping memastikan kebajikan ahli alumni serta keluarga mereka dijaga dan sekali gus persatuan dapat memainkan peranan,” katanya.

Ahmad Kidzbullah berkata seramai 200 daripada 520 ahli Persatuan Alumni SMK Khir Johari telah mendaftar di bawah skim khairat kematian berkenaan dan pihaknya sudah menyerahkan bayaran sebanyak RM5,000 kepada Etiqa Takaful – sinar harian