PANTAI REMIS: Rakyat di negeri ini diingatkan supaya menjaga kemesraan dan mewujudkan kasih sayang di antara mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jika terdapat sebarang masalah, ia perlu diselesaikan sebaik mungkin.

Menurut beliau, rakyat juga mesti mengelakkan perbalahan yang boleh menyebabkan perpecahan di antara mereka.

“Kalau tidak ada kasih sayang dalam satu kampung atau kariah, hidup kita akan berpecah belah,” katanya ketika berucap di Surau Al-Ikhlas Kampung Matang Kerian semasa program walkabout di kampung tersebut, petang Rabu.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim dan Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad.

Dalam walkabout itu, Dr Zambry turut melawat maahad tahfiz, Madrasah Tarbiyyatul Ajyal dan beramah mesra dengan para pelajarnya.

Dr Zambry turut meluluskan peruntukan membaik-pulih bumbung surau tersebut.