TAPAH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)) masih memburu Ibrahim Mat Zain atau lebih ikenali sebagai `Raja Bomoh’ berhubung siasatan upacara ritual di pantai bagi mengelakkan Malaysia diserang Korea Utara dan menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pegawai penguatkuasa JAIPk dengan kerjasama polis telah pergi ke tiga kediaman Ibrahim beberapa hari lalu iaitu di Kampung Bermin, Air Hitam Tapah dan Taman Slim River untuk menyerahkan surat saman bagi membantu siasatan tetapi beliau gagal ditemui setakat ini.

Katanya, upacara pembomohan Ibrahim diharamkan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 sejak 2014.

Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan bahawa amalan pembomohan yang dilakukan Ibrahim bercanggah dengan hukum syarak.

Yusop menegaskan mana-mana umat Islam di Perak yang mengingkari fatwa boleh dikenakan tindakan.

Sementara itu, kalangan penduduj Kampung Bermin meminta Ibrahim menyerah diri kepada JAIPk berhubung siasatan upacara ritual yang dilakukannya itu.

Menurut imam Surau Kampung Bermin, Mat Kusan Ibrahim, 61, amalan ritual yang dilakukan Ibrahim amat jelas bercanggah dengan hukum syarak dan jika tidak diperbetulkan segera boleh merosakkan akidah umat Islam.

“Ritual yang dilakukan itu amat jelas sekali melanggar hukum syarak dan bagi saya wajar Ibrahim menyerah diri kepada bagi membantu siasatan sekaligus menyelesaikan segala perbuatan dan amalan yang boleh memesongkan akidah umat Islam,’’ ujarnya.

Beliau juga mengakui Raja Bomoh itu tidak pernah bersua dengan masyarakat kampung sejak sekian lama dan tidak pernah hadir sembahyang berjemaah di surau dan masjid.

Ketua Kampung Bermin, Sulaiman Nordin, 61, juga sependapat bahawa Ibrahim perlu menyerah diri bagi membantu siasatan JAIPk kerana amalannya sudah jelas terpesong dan bertentangan dengan hukum syarak.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia telah menyingung perasaan umat Islam di mata dunia apatah lagi amalan ritual itu dilakukan oleh seorang bomoh yang beragama Islam,’’ katanya.

Sementara itu isteri Ibrahim Mat Zain, Normah Mohamed, 63, yang tidak mahu gambarnya diambil berkata, suaminya sudah lama tidak balik ke rumah dan kali terakhir dia berjumpa suaminya ialah pada Hari Raya Haji tahun lepas dan selepas itu tidak lagi hingga ke hari ini.

Beliau mengakui pegawai JAIPk dan polis ada datang kerumahnya baru-baru ini untuk mencari suaminya tetapi suaminya tiada.

Menurut Normah, beliau terkejut apabila melihat gambar suaminya yang tular dalam media sosial baru-baru ini dan selepas itu pihak JAIPk dan polis datang mencari suaminya.

Katanya, dia tidak tahu suaminya berada di mana kerana sudah tidak dihubungi sejak sekian lama.