IPOH – Jabatan Agama Islam Perak disaran bertindak lebih proaktif dalam aktiviti pemantauannya terhadap premis-premis yang menjalankan perniagaan makanan terutama hotel-hotel.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembagunan Usahawan YB Asmuni Awi berkata pemeriksaan tersebut wajar dilakukan dan jangan hanya menunggu laporan daripada orang ramai.

“Saya mencadangkan dan meminta agar Jabatan Agama Islam Perak mestilah bersifat proaktif supaya isu penarikan Sijil Pengesahan Halal di hotel dapat dibendung daripada berlaku. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada perniagaan dan juga pengunjung yang ingin menikmati hidangan di hotel tesebut khususnya dari mereka yang beragama Islam.

“Malah, bukan semua orang akan prihatin dan membaca surat khabar atau mesej di dalam aplikasi WhatsApp untuk menyemak status halal dan pensijilan halal kepada hotel tersebut,” ujar beliau ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan JAIPk yang telah menarik balik sijil pengesahan halal dari Hotel Excelsior berkuatkuasa serta merta melalui satu keputusan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Negeri Perak pada 27 April lalu.

Hal tersebut berikutan pihak hotel tersebut gagal mematuhi Prosedur Pensijilan Halal Malaysia apabila dapur di aras 5 hotel itu menyediakan menu berasaskan daging haram buat orang Islam.

Pelanggaran prosedur juga didapati dilakukan pengurusan hotel itu apabila tidak mempunyai jawatankuasa halal dalaman.

YB Asmuni turut memaklumkan bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu semasa pertemuan dengan Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin pada 24 Mei lalu di pejabat beliau.

“Saya difahamkan pihak hotel tersebut telah mengemukakan rayuan penarikan balik Sijil Pengesahan Halal kepada JAIPk dan dikehendaki mematuhi syarat-syarat iaitu menghentikan operasi penjualan menu berasaskan babi di Aras 5, dan menyeru peralatan serta kawasan yang disyaki telah tercemar disamak mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan.

“Pihak hotel juga diminta untuk mewujudkan dan mengaktifkan Jawatankuasa Halal Dalaman bagi memastikan pengurusan sistem jaminan halal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya minta hotel tersebut perlulah mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JAIPk jika mereka mahu status halal ini dikembalikan,” kata beliau.

Menurutnya kebanyakan premis ini hanya mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan pada peringkat awal namun kemudiannya mengenepikan syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuk pembahagian dapur, pengasingan pinggan mangkuk, tempat makan dan sebagainya.

“Terdapat juga pihak-pihak yang mengambil mudah terutama apabila berlakunya pertukaran pengurusan di dalam outlet misalnya kalau ketika sijil itu dikeluarkan dahulu yang menjadi pengurusnya ialah Mr. A, dan kemudiannya mungkin Mr. A tu dah berhenti kerja atau tukar tempat lain dan digantikan dengan Mr. B yang mungkin kurang mengetahui akan sebelum itu dan tidak peka,” jelas beliau.

Beliau turut menasihati pengunjung Islam supaya mereka membuat semakan status halal dari semasa ke semasa sebelum berkunjung ke hotel atau restoran.

“Saya minta terutama dalam bulan Ramadan ini terutamanya cuba semak sebelum pergi ke hotel-hotel takut nanti ibadah puasa itu sia-sia kerana kita makan makanan yang taraf ataupun status halal itu syubhah atau diragui atau lebih teruk lagi kemudian di sahkan sebagai makanan tidak halal,” kata beliau.