IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memperkenalkan program Mencari Juara bagi melahirkan kumpulan tahfiz yang mampu diketengahkan di dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, program itu telah diperkenalkan sejak tahun lalu.

Hasilnya, tahun lalu, peserta yang dilahirkan daripada program itu telah mewakili negara ke peringkat antarabangsa di Algeria dan mendapat tempat ke – 11 daripada 62 buah negara yang mengambil bahagian.

Menurut Drs Nizar, untuk tahun ini, seramai 30 orang dipilih daripada maahad tahfiz di seluruh negeri untuk menyertai program Mencari Juara selama tiga bulan, yang telah bermula sebulan lalu.

“Sepanjang program, peserta ditempatkan di INTIM dengan elaun bulan RM550 seorang dan selepas menjalani saringan, kini hanya tinggal 12 sahaja yang akan menjalani saringan akhir pada Disember depan,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan 12 peserta itu di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini.
Peserta terdiri daripada enam lelaki dan enam perempuan yang akan memasuki pertandingan hafazan dalam tiga kategori iaitu 1 – 10 juzuk; 1- 20 juzuk dan 1 – 30 juzuk.

 


Sementara itu, Penyelaras Program Mencari Juara, Saifuldin Mohd Nawawi memberitahu, pada saringan terakhir, peserta program akan bersaing dengan hufaz dari luar.

“Sekiranya peserta program ini tewas, kita akan mengambil peserta luar yang menang untuk menggantikannya,” jelas beliau.

Selepas itu, ujarnya, semua peserta itu akan menyertai pertandingan peringkat negeri yang dijangka diadakan Januari tahun hadapan untuk memilih waki ke peringkat kebangsaan.