IPOH: Selepas pengenalan sistem perakaunan atas talian yang dinamakan Sistem Pengurusan e-Akaun Masjid (SPeAK), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan garis panduan penggunaan tabung masjid tidak lama lagi.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, garis panduan itu akan memberi gambaran lebih jelas kepada ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri tata cara penggunaan tabung masing, khususnya kutipan setiap Jumaat.

Menurut beliau, garis panduan itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri terlebih dahulu dan dijangka siap sepenuhnya dalam suku pertama tahun ini.

Beliau memberitahu, dalam satu kajian yang dibuat pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beberapa tahun lalu, didapati hampir belasan juta duit tabung kutipan masjid di Perak, beku kerana tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Ada masjid yang simpan puluhan ribu, yang saya rasa tidak sepatutnya disimpan begitu sahaja kerana ada juga yang seolah-olah hendak merasakan wujud pertandingan ataupun rasa dia banyak duit tetapi kemana hendak digunakan.

“Ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap minggu insya Allah ada orang yang akan bersedekah sebab di Malaysia ini, orang memang suka bersedekah, cuma ke mana sedekah itu hendak digunakan,” katanya kepada pemberita selepas program Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baru 2018 JAIPk serta Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di INTIM di sini, hari ini.

Perutusan tahun baru disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Datuk Zainul Darus dan Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sementara itu, Zainul menyambut baik usaha penyediaan garis panduan itu kerana ia dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada pihak pengurusan masjid untuk mentadbirkan tabung kutipan.

“Apabila ada garis panduan ini, lebih memudahkan mereka untuk menguruskan tabung selain mengelakkan kekeliruan yang mungkin berlaku,” ujarnya.

Pada majlis itu, Drs Nizar turut melancarkan Buku Panduan Pengurusan Acara dan Majlis JAIPk.

Tahun lalu, JAIPk bekerjasama dengan KPerak mengambil inisiatif memperkenalkan SPeAK dalam mentransformasikan sistem perakaunan masjid supaya lebih seragam dan sistematik melalui teknologi ICT.

Dengan adanya pangkalan data yang sistematik serta akses kepada status kewangan masjid secara atas talian, sistem SPeAK dapat membantu pihak JAIPk memantau akaun masjid dari masa ke semasa dan seterusnya memudahkan urusan penyaluran bantuan.

Melalui sistem SPeAK, laporan-laporan seperti penyata pendapatan, penyata perbelanjaan dan imbangan duga dapat dijanakan, kerana sebelum ini pihak masjid menggunakan sistem perakaunan manual.

Sistem SPeAK adalah salah satu inisiatif di dalam Program Wakaf ICT KPerak di dalam mentransformasikan sistem pengurusan Islam kepada penggunaan teknologi terkini.

Sistem yang akan diwakafkan oleh pihak KPerak kepada pihak JAIPk ini akan diguna pakai oleh 668 masjid di Perak melalui 3 Fasa.

Masjid-masjid yang terlibat dalam fasa perintis adalah Masjid Negeri Perak (Masjid Sultan Idris Shah II), Masjid Sultan Azlan Shah dan Masjid Muhibbuddin Shah. Dalam Fasa 2 pula, sistem ini akan diperluaskan ke 10 masjid daerah besar dan selebihnya dalam Fasa 3.