PARIT BUNTAR – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memberi jaminan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak akan dimansuhkan, malah peranan dan fungsinya akan diperbaiki lagi bagi memastikan jabatan itu lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini.

Beliau memberi jaminan itu kepada seluruh rakyat Malaysia sekaligus menghapuskan rasa resah masyarakat Islam.

Menurut beliau, satu pertemuan antara para ulama dan pentadbir agama islam dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan untuk membincangkan dan mendapatkan maklumbalas bagaimana institusi Islam di negara ini dapat diperbaiki.

“Dalam isu pentadbiran agama Islam di seluruh negara, di peringkat kerajaan persekutuan dalam masa yang terdekat ini, kita akan melakukan pertemuan dengan semua para ulama dan cendekiawan termasuk pentadbir-pentadbir agama Islam dengan perdana menteri untuk mendapat maklumbalas untuk mengetahui apakah pandangan mereka terhadap institusi pentadbiran Islam di peringkat persekutuan termasuk Jakim.

“Hasil dari pertemuan itu, kita akan ada satu input yang baik untuk memulakan pembaikpulih untuk institusi pentadbiran Islam. Ini merupakan tanggungjawab besar saya dan inshaallah saya akan bagi jaminan kepada seluruh rakyat di negara ini pentadbiran Islam ini kita mahu supaya betul-betul diberikan satu input yang baik melalui satu badan yang lebih bebas supaya tidak dilihat ia ada kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media setelah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar Dan Dun Titi Serong Bersama Pemuda Amanah Negeri Perak di dataran kerian permai di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan Dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim serta Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan YB Abdul Yunus Jamhari.

Kira-kira 10,000 tetamu dari pelbagai kaum hadir dan lebih dari 20 juadah raya di 10 buah gerai disediakan untuk para pengunjung yang membanjiri dataran tersebut seawal jam 2.30 petang.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata beliau mensasarkan tempoh lima bulan untuk memperolehi laporan lengkap bagaimana hal-hal pentadbiran Islam di peringkat persekutuan dapat diperbaiki.

“Tindakan itu mendapat sokongan daripada Raja-Raja Melayu dan juga pihak istana kerana institusi raja tersebut merupakan pelindung kepada agama sekaligus ingin melihat bahawa pentadbiran Islam lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan,” tambah beliau.

Mujahid turut berazam untuk melakukan yang terbaik dari sudut pentadbiran Islam ini dan memastikan ia bebas daripadap sebarang kepentingan politik.

“Ia juga akan selamat daripada sebarang keraguan dari segi korupsi dan unsur negatif lain agar institusi Islam disanjung, dihormati dan dengan itu pentadbiran islam di bawah Pakatan Harapan akan menjadi lebih baik,” kata beliau lagi.