BATU GAJAH: Sejak bertahun-tahun lalu, Jalan Ilmu di sini yang menjadi laluan utama ke Sekolah Sultan Yusuff (SYS) telah digazetkan sebagai laluan sehala pada waktu puncak – pagi, tengahari dan petang.

Malangnya, sikap pengguna yang kurang prihatin menyebabkan jalan tersebut sesak setiap kali waktu puncak, yang turut menyebabkan kemalangan melibatkan pelajar.

Prihatin dengan masalah itu, Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) akan menaiktaraf jalan tersebut sebelum digazet sepenuhnya sebagai jalan sehala.

Yang Dipertua MDBG, Nurdiana Puaadi memberitahu, laluan basikal juga akan disediakan bagi menjaga keselamatan lebih 1,500 pelajar SYS dan pengguna jalan raya lain.

“Projek ini kita akan kita jangka akan mulakan minggu dalam masa seminggu lagi dan kita sasarkan siap awal bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan tapak pada Selasa.

Turut hadir Ketua Whip MDBG, Datuk Wira Mohd Yusoff Kasim, pegawai, beberapa ahli majlis dan wakil guru SYS.

Sementara itu, seorang guru SYS, T. Thangarani berkata, ketika waktu persekolahan, mereka mengambil masa hampir setengah jam untuk keluar masuk sekolah walaupun jalan tersebut hanya kira-kira 500 meter.

“Sebelum ini pun ada kemalangan kecil-kecilan, basikal jatuhlah, motosikal jatuhlah dan sebagainya. Jadi, saya rasa kalau sehala, kuranglah semua masalah itukan dan memudahkan pergerakan semua orang,” ujarnya.

jalan-ilmu-jalan-sehala 2