IPOH: Pemandu kenderaan yang melalui Jalan Ipoh – Kuala Kangsar menghala keluar kea rah Tasek dan Chemor petang ini terpaksa menempuhi kesesakan lalu lintas lebih satu jam akibat kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan.

Para pengguna jalan tersebut melahirkan kegelisahan melalui laporan di laman perkongsian info trafik “Waze” dan siaran radio selain mesej-mesej di aplikasi telefon “Whatsapp” ekoran “tersangkut” lebih satu jam di laluan tersebut ketika waktu puncak.

Pengguna turut melaporkan dua kawanan kerbau yang melintasi laluan berkenaan beberapa jam sebelum kemalangan tersebut yang juga menyebabkan ada pemandu yang sempat merakam aksi kerbau-kerbau berkenaan dan memuat naik di status Whasapp mereka.

Bagaimanapun, dalam kejadian kemalangan yang masih belum selesai ditangani setakat 6.30 petang, dikatakan berpunca daripada sebuah kereta Proton Satria yang terbabas memasuki laluan bertentangan setelah melanggar tiang lampu jalan lalu merempuh dua kenderaan lain.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada sekitar jam 5.00 petang dan segera bergegas ke tempat kejadian dengan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Jamaluddin Amin.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati tiga buah kenderaan terlibat dalam kemalangan itu. Operasi menyelamat masih berjalan buat masa ini,” ujarnya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

kemalangan-jalankuala2