IPOH: Kerajaan negeri Perak berharap jalan Persekutuan di negeri ini yang panjangnya kira-kira 1,620 kilometer dapat diselenggara dan dibaiki semula pada kadar segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, jalan-jalan berkenaan, khususnya jalan utama, memerlukan pembaikkan yang berterusan untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.

Menurut beliau, sudah empat tahun jalan-jalan itu tidak diselenggara dan kali terakhir kerja-kerja pembaikkan dijalankan ialah pada tahun 2013.

Katanya, berdasarkan rekod tahun lalu, kerajaan negeri telah memohon RM132 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi tujuan penyelenggaraan jalan Persekutuan tetapi hanya menerima RM16 juta.

“Tahun ini kerajaan negeri memohon sebanyak RM117 juta dan kita harap dapat menerima sekurang-kurangnya 60 peratus daripadanya kerana sudah agak lama jalan ini tidak dibaiki,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan kontrak di antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Syarikat Indera Empayar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Pada sidang media itu, Zainol turut menyangkal dakwaan kononnya kontraktor tempatan tidak akan mendapat kerja penyelenggaraan jalan ladang di bawah JPS kerana telah diberikan kepada Syarikat Empayar Indera Sdn Bhd.

“Realitinya kerja-kerja Empayar Indera perlu dilaksanakan oleh kontraktor, maknanya mereka perlu melantik kontraktor tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja jalan ladang JPS,” jelasnya.

Zainol memberitahu, kontrak penyelenggaraan jalan pertanian JPS di Perak diberikan kepada Empayar Indera bagi tempoh dua tahun bermula 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019 dengan membabitkan kontrak penyelenggaraan rutin dan berkala bernilai RM90 juta.

Katanya, mengikut pecahan nilai kontrak ialah penyelenggaraan rutin RM32 juta untuk tempoh dua tahun dan penyelenggaraan berkala RM58 juta juga untuk tempoh dua tahun.

Menurut beliau, skop kerja adalah memotong rumput dalam rizab JPS, pembaikan permukaan jalan, tebing runtuh, pembentungan, kerja cerucuk, saliran dan kerja kecemasan.

Zainol berkata, 40 peratus dari jumlah kerja berkala akan diagihkan kepada ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak manakala 60 peratus lagi akan diagihkan kepada kontraktor G1,G2,G3 atau G4 yang berdaftar di negeri Perak.

“Bagi kerja-kerja yang memerlukan kepakaran tertentu, terbuka kepada kontraktor dari luar negeri Perak tetapi keutamaan kepada kontraktor dari Perak,” tambahnya.