Oleh: Mohd. Shafiq Noordin

GERIK: Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik – Jeli masih selamat digunakan orang ramai walaupun berlaku runtuhan cerun di Kilometer 140 laluan itu sejak Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, meskipun masih terdapat runtuhan kecil yang berlaku secara berterusan namun tiada perancangan untuk menutup jalan itu setakat ini.

“Kita telah menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di laluan ini untuk mengawal lalu lintas demi keselamatan pengguna.

“Orang ramai yang melalui laluan ini dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi arahan-arahan yang diberikan.

“Sebarang tindakan seperti penutupan jalan ini atau sebagainya hanya akan dimaklumkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di laluan itu pada petang Jumaat.

Zainol berkata, pembaikan laluan itu belum boleh dilakukan kerana masih terdapat pergerakan tanah di bahagian atas permukaan cerun terlibat.

Tambah beliau, tindakan susulan hanya akan diambil setelah laporan teknikal diperolehi dan tiada pergerakan tanah di bahagian atas permukaan cerun itu dikesan.

“Runtuhan cerun ini berkemungkinan berlaku akibat hujan lebat sehingga menyebabkan kegagalan terhadap permukaan cerun ini.

“Kita harap pengguna dapat bersabar kerana kita tidak boleh mengambil tindakan pada masa ini kerana keadaan tidak mengizinkan. Buat masa ini, JKR sedang membuat pemantauan dan menyiapkan laporan teknikal,” jelas beliau.