IPOH –  Beberapa jalan utama sekitar bandar raya ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat mulai Isnin bagi membolehkan raptai serta sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang akan diadakan di hadapan Dewan Bandaran Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

Kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh memaklumkan penutupan serta lencongan pada 27 dan 28 Ogos, masing-masing bermula 8.30 pagi hingga selesai acara.

“Penutupan serta lencongan pada 29 dan 31 pula bermula 6.30 pagi hingga selesai acara, “ menurut kenyataan itu di sini, hari ni.

Jalan terlibat adalah simpang Jalan Kuala Kangsar / Jalan Raja Musa Aziz; Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab (dari Jalan Kuala Kangsar) / Jalan Kompleks Islam; Jalan Lim Bo Seng / Jalan Dato Onn Jaafar / Jalan St. John dan Jalan S.P Seenivasagam.

Pihak polis turut membuka beberapa laluan alternatif antaranya dari Jalan Sultan Iskandar ke Menglembu atau Silibin boleh melalui Jalan Sultan Iskandar – Jalan Bandar Timah – Persiaran Bijeh Timah – Jalan Sultan Yusof – lampu isyarat Jalan Leong Boon Swee – lampu isyarat Lahat.

“Pengguna yang ingin ke Stesen Keretapi Ipoh, boleh menggunakan laluan subway di Regat Tun Perak dengan melalui Jalan Kuala Kangsar – Jalan Tun Abdul Razak – Jalan St. John – Regat Tun Perak,” menurut kenyataan itu. – Bernama