IPOH: Beberapa jalan utama di pusat bandaraya Ipoh akan ditutup bersempena progra Perarakan Kebudayaan Ipoh 2017 yang akan berlangsung di Dewan Bandaran Ipoh, selama dua hari bermula esok bagi memberi laluan kepada raptai seterusnya sambutan program berkenaan pada 23 Julai ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata bagi raptai esok, jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat bermula 9 pagi hingga 11 malam.

Jalan yang terlibat ialah lampu isyarat Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Sultan Yusoff, kawasan sekitar Padang Ipoh, Jalan S.P Seenivasagam, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan St John, Jalan Kuala Kangsar, Bulatan Kidd, Jalan Leong Boon Swee, Jalan Silang, Jalan Dato Onn Jaafar, Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Sultan Idris Shah serta Jalan C.M Yusoff,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini hari ini.

Katanya, pada hari sambutan program itu (23 Julai), jalan berkenaan akan mula ditutup seawal 6 pagi.

“Beberapa laluan di bandaraya Ipoh akan dibuka semula secara berperingkat serta mengikut keperluan dan dijangka dibuka sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari,” katanya.

Sum berkata kira-kira 90 anggota trafik akan bertugas untuk mengawal lalu lintas pada sambutan program berkenaan yang dijangka menerima kehadiran pengunjung kira-kira 25,000.

Beliau berkata program tersebut membabitkan perarakan sejauh 2.8 kilometer melibatkan 2,000 peserta pejalan kaki serta 150 buah kenderaan berhias.

Program anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) dengan kerjasama Tourism Perak itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Perarakan kebudayaan itu akan mempamerkan pelbagai konsep termasuk pertunjukan pakaian, tarian, muzik, seni mempertahankan diri, warisan dan sejarah, amalan tradisional dan makanan yang akan disertai 50 kumpulan terdiri daripada pelbagai agensi dan pemain industri pelancongan dan kebudayaan di negeri ini.

Program berkenaan yang bakal mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records bagi kumpulan perarakan budaya terbesar melebihi 1,500 peserta bersempena sambutan ulang tahun PCCCI ke-110.

– BERNAMA