BEHRANG: Laluan di Kilometer 113 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini, sesak teruk hampir tiga jam apabila sebuah treler terbalik dan menghalang sebahagian besar laluan.

Kemalangan jam 1.40 petang itu turut menyebabkan muatan kayu dibawa treler berkenaan bertaburan di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata nahas dipercayai berpunca apabila pemandu treler hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas.

“Kenderaan itu terbalik di bahu jalan di laluan bertentangan. Polis terpaksa menutup satu lorong kerana muatan yang bertaburan menyebabkan lalu lintas terhalang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu treler berusia 46 tahun dari Bedong, Kedah bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, ketika kejadian pemandu berkenaan dalam perjalanan dari Slim River ke Tanjung Malim. -msnnews