SIMPANG PULAI: Kerajaan negeri Perak meminta pengguna media sosial supaya berhenti menularkan (viral) laporan kononnya laluan KM44 Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands tidak selamat digunakan dan hanya menunggu masa untuk runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, laluan tersebut sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah dan masih selamat untuk digunakan.

“Mungkin dari jauh nampak membimbangkan tetapi melalui kajian dilakukan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CWC) ianya masih selamat digunakan dan langsung tidak berlaku sebarang pergerakan.

“Stuktur laluan ini dibina seolah-olah seperti satu jambatan dan terdapat 425 piling sepanjang 15 hingga 25 meter dibawahnya untuk memastikan ia kukuh,” katanya ketika membuat lawatan ke lokasi berkenaan pada Selasa.

Tambah beliau, walaupun pada 26 Januari lepas terdapat runtuhan tanah melibatkan 30 meter di sisi laluan itu, namun ia tidak memberi sebarang kesan kepada struktur jalan tersebut seperti didakwa.

“CWC ketika ini sedang melakukan kajian bagi mencari solusi untuk mengukuhkan lagi cerun di tepi laluan itu, mungkin kita akan tanam rumput dan sebagainya supaya tidak lagi berlaku runtuhan,” jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Ir. Abu Bakar Mohamed Said berkata, terdapat tujuh alat untuk mengesan pergerakan tanah dikenali sebagai prisma telah dipasang di sepanjang laluan satu kilometer itu.

“Di sekitar laluan itu pula terdapat 36 lagi prisma dipasang oleh JKR untuk memantau sebarang pergerakan secara langsung, setiap hari dan setiap jam.

“Katalah berlaku sebarang pergerakan kepada struktur ini, prisma akan memancarkan isyaratnya terus kepada ibu pejabat kita di Kuala Lumpur…setakat ini langsung tiada pergerakan,” katanya.

Baru-baru ini terdapat beberapa laporan bergambar di media sosial yang mendakwa kononnya laluan itu hanya menunggu masa untuk meragut nyawa.