IPOH – Kemudahan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kini telah dilaksanakan hampir ke seluruh kawasan di negeri ini, kata Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Menurutnya, kemudahan itu kini tidak hanya boleh dinikmati penduduk di sekitar Lembah Kinta, tetapi juga Taiping, Teluk Intan, Seri Manjung dan Tanjung Malim.

“Usaha ini dilaksanakan sebagai satu komitmen kerajaan sebelum ini untuk merapatkan jurang kebolehan akses kemudahan internet antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Penyelesaian Hospitaliti Hiburan antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan Hotel Weil, semalam.

Weil menjadi hotel pertama di negeri ini melanggan perkhidmatan berkenaan merangkumi internet jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 20 megabait sesaat (Mbps), televisyen HyppTV selain kemudahan pusat panggilan bagi khidmat sokongan pelanggan 24 jam untuk penyelesaian masalah rangkaian.

Nolee Ashilin menggalakkan setiap pemain industri perhotelan untuk terlibat secara langsung dalam menyedia perkhidmatan internet jalur lebar sebagai satu tarikan pelancong.

Katanya, keadaan itu boleh dijadikan satu tarikan pelancong sekali gus membantu meningkatkan keupayaan akses kemudahan internet di negeri ini.

-Sinarharian