IPOH Lagu Aku Penghiburmu dan Gadis Melayu yang disampaikan oleh Datuk Jamal Abdillah menjadi pelengkap kepada pengakhiran 365 hari tahun ini, pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2018 di Dataran Bandaraya Ipoh.

Persembahan bertenaga dari penghibur lagenda kelahiran negeri Perak itu berjaya menggamatkan suasana malam Tahun Baharu yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Walaupun hujan turun renyai-renyai sejak petang, ia tidak membuatkan hadirin yang berpayung berganjak dari sambutan tersebut memandangkan cuti yang masih berbaki sehari lagi sempena Tahun Baharu esok.

Tidak ketinggalan penyanyi yang tular dengan lagu ‘Pematah Hati’, Nabila Razali turut mempersembahkan dua buah lagu.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi hadir bagi menyempurnakan perasmian program.

Selain itu hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan persembahan gabungan khas pelbagai kaum.

Pengiraan detik ambang Tahun Baharu 2017 dan pertunjukan bunga api menjadi acara kemuncak kepada perjalanan program.