Oleh : Intan Baha

suaraperakeditorial@gmail.com

UMPAMA jambangan bunga segar di dalam kaca apabila melihat kek agar-agar tiga dimensi (3D) yang semakin mendapat perhatian daripada peminatnya tersendiri.

Pengusaha pemanis mulut dan makanan, Nor Zihan Mat Lateh, 33, mula memberanikan diri untuk menawarkan menu istimewa ini sejak awal tahun ini. Beliau bertekad untuk mengikuti kelas dan bengkel khas membuat kek agar-agar 3D ini setelah terjumpa beberapa video yang dikongsi oleh para pembuat manisan tersebut yang berasal dari Vietnam di Youtube.

“Saya tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara pembuatan ini kerana pada saya ia sesuatu kemahiran yang unik dan istimewa. “Ia juga mempunyai daya tarikan yang tersendiri di samping memerlukan imaginasi yang tinggi,” katanya apabila ditemui oleh Suara Perak.

Teknik pembuatannya nampak mudah namun proses keseluruhan boleh mengambil masa antara lapan hingga 10 jam untuk menyiapkan satu tempahan, bergantung kepada rekabentuk yang dipilih. Menurut Nor Zihan, kek agar-agar 3D ini mempunyai tiga proses utama iaitu menyediakan bahagian bawah, menyuntik larutan warna ke dalam lapisan tersebut dan lapisan atas.

Semua proses ini dilakukan sebelum kek itu dikeluarkan dari acuannya. Apa yang menarik, manisan ini disediakan secara terbalik di mana bahagian bawah yang jernih terdiri daripada agar-agar kristal yang diimport khusus dari Vietnam.

“Sebagai latihan, saya pernah cuba menggantikan lapisan agar-agar kristal itu dengan bancuhan agaragar biasa yang boleh didapati di kedai runcit namun saya dapati kualitinya tidak seperti agagr-agar kristal di mana bahagian yang dicucuk berkali-kali dengan jarum berbentuk kelopak, kuntum bunga dan daun itu akan pecah sekaligus mencacatkan manisan tersebut,” tambah beliau.

Nor Zihan berkata, proses pembuatan kek agar-agar 3D ini dimulakan dengan memasak agar-agar kristal dengan air sehingga larut sebelum dituang ke dalam acuan. Adunan itu biasanya dibiarkan mengeras antara lima hingga enam jam pada suhu bilik. Sementara itu, adunan untuk bunga dan daun disediakan dengan mencampurkan serbuk soya atau susu sejat dan pelbagai pewarna makanan dengan bancuhan air dan serbuk agar-agar.

 

Setelah lapisan jagar-agar kristal itu mengeras, proses menghias, iaitu menyuntik pelbagai warna akan dimulakan. Picagari yang dilengkapi dengan jarum berbentuk kelopak bunga mawar, kekwa, dan teratai akan dicucuk ke dalam lapisan agar-agar kristal dan di sini imaginasi pembuatnya akan dicabar.

 

Oleh kerana agar-agar ini akan dikeluarkan daripada acuan setelah selesai proses menghias, maka kelopak, putik bunga dan daun akan dicucuk secara berlawanan. Ini bermaksud setiap pergerakan dan bentuk yang dihasilkan akan mengembang keluar dari bahagian bawah dan berada di dalam agar-agar kristal. Setelah siap dihias, lapisan atas yang mempunyai perasa akan ditambahkan sebagai pelengkap.

Proses menghias ini pula akan mengambil masa antara empat hingga lima jam bergantung kepada saiz, warna dan pilihan bentuk bunga yang diminta. “Antara perasa yang ditawarkan ialah laici, coklat, oren, mangga, anggur, strawberi dan buah-buahan campuran.

 

“Biasanya saya akan menerima tempahan untuk majlis sambutan ulangtahun, pertunangan dan kenduri kesyukuran. “Alhamdulillah permintaan sangat menggalakkan lantaran pelanggan kini suka menampilkan sesuatu yang menarik dan tular untuk majlis istimewa mereka,” tambah ibu kepada seorang anak perempuan ini.

 

 

Apabila siap sepenuhnya, acuan akan diterbalikkan sekaligus menyerlahkan keindahan kuntuman bunga segar dalam jambangan berkaca. Selain kek agar-agar 3D ini, Nor Zihan turut menawarkan pelbagai manisan termasuk puding, kek cawan, pelbagai jenis pasta dan set lunchbox. Untuk tempahan , boleh hubungi beliau di 019- 3045074.