AYER TAWAR: Jambatan baru yang menghubungkan di antara dua perkampungan nelayan Kg Teluk Telaga Nenas dan Kg Baru dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata projek itu juga dilengkapi dengan empat pakej istimewa yang dijangka dapat meningkatkan sosioekonomi buat semua keluarga di kawasan tersebut.

Malah, Dr Zambry berkata kesemua pakej tersebut adalah untuk memastikan perancangan kerajaan negeri Perak dalam memberi kemudahan kepada rakyat setempat tercapai.

“Pakej pertama adalah projek jambatan manakala fasa dan pakej kedua adalah jalan tuju, selepas turun dari jambatan dan fasa ketiga adalah dari jalan tuju sehingga ke jalan utama dan perkampungan penduduk.

“Selain itu, satu lagi pakej keempat adalah jalan pintas yang diminta oleh penduduk Kg Teluk sebelum ini, untuk menghubungkan mereka ke jambatan, ini adalah pakej tambahan,”katanya kepada pemberita di sini,hari ini.

Jelasnya,berdasarkan peninjauan awal dan lawatannya ke kawasan sekitar pembinaan masjid beliau mendapati bahawa terdapat perkembangan baik tanpa sebarang kelewatan dan beliau berharap agar semuanya berjalan dengan baik.

“Saya telah mendengar daripada penduduk kampung yang meminta jalan pintas dari Kg Teluk ke jambatan telah meluluskan peruntukan tersebut.

“Buat masa ini, kita masih lagi dalam proses pengambilan tanah kerana ianya terletak di kawasan tanah yang ada pemilik, sebaik sahaja ianya diselesaikan maka proses pembinaan jalan pintas akan disegerakan,”katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor itu berkata, jambatan tersebut merupakan usahasama di antara bekas Ahli Parlimen Lumut, Tan Sri Kong Cho Ha sejak tahun 2012 yang telah menerima sambutan baik dari penduduk setempat.

Menurut Dr Zambry, secara keseluruhannya jambatan baru berkenaan dapat menjimatkan waktu perjalanan penduduk kampung ke arah pekan Seri Manjung, Lumut serta Sitiawan.

“Tidak perlu lagi pusing jauh dan memakan masa sebanyak 30 atau 35 minit bergantung kepada kenderaan dengan adanya jambatan baru ini, kini dalam masa 15 ke 10 minit paling lama mereka boleh tiba.

“Selain itu, saya juga telah meninjau pembinaan masjid di Kg Telaga Nenas yang mengalami masalah teknikal iaitu kontraktor, justeru kerajaan negeri telah tukar dan disambung oleh kontraktor baru.

“Kini,perkembangan pembinaan lebih ke hadapan dan ini memberikan petunjuk yang baik,kita harapkan agar masjid ini walaupun sederhana namun tetap cantik untuk penduduk di sini’”ujarnya lagi.

Harapan Dr Zambry, agar keseluruhan perancangan projek itu dapat memberikan manfaat kepada hubungan Kg Telaga Nenas, Kg Teluk dan Kg Baru yang agak terpisah dari Parlimen Lumut dan mereka tidak berasa terpencil.