TELUK INTAN – Penduduk Kampung Bahagia di sini resah akibat masalah gangguan kera liar yang ‘menghuni’ jambatan kereta api menghubungkan kampung itu dan Kampung Sungai Nibong.

Ketua Kampung Bahagia, Khairul Hisyam Adnan berkata, pihaknya sering menerima aduan penduduk ketika menggunakan jambatan yang pernah menjadi laluan keretapi dari Teluk Intan ke Tapah.

“Pejabat saya sering dikunjungi penduduk yang menyuarakan aduan mengenai gangguan kera dan mereka meminta supaya tindakan diambil bagi menghalau kera berkenaan.

“Malah ada yang datang bersama dengan anak mereka yang menangis akibat ketakutan dikejar kera ketika pulang dari sekolah menaiki basikal melalui jambatan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya dekat Kampung Bahagia.

Menurutnya, pada mulanya jumlah kera yang berkeliaran dan bertenggek di atas jambatan tersebut sekitar 10 ekor sahaja, namun sejak beberapa tahun lalu ia semakin bertambah.

“Kami tertanya-tanya apa yang menyebabkan kera tersebut semakin bertambah hari demi hari selain terdapat beberapa ekor kera besar dan ganas mula kelihatan berbanding sebelum ini hanya kera kecil.

“Saya percaya tindakan sesetengah individu yang memberi haiwan tersebut makan menyebabkan ia makin ramai dan apabila tiada sesiapa memberi mereka makan, ia bertindak mengejar orang ramai yang lalu lalang di situ,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Hisyam turut meminta pihak Perhilitan supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada lagi kera liar mengganggu penduduk.

“Saya juga ingin menasihati orang ramai supaya jangan memberi makan kepada haiwan berkenaan kerana apabila mereka lapar dan tiada siapa yang memberi makan ia akan bertindak mengejar sesiapa yang lalu di jambatan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perhilitan Hilir Perak ketika dihubungi Sinar Harian masih belum memberikan sebarang maklum balas.

-Sinar Harian