BANDAR KUALA KANGSAR – Jambatan di Kampung Bukit Cermin menghubungkan Jalan Sayong-Parit tidak akan dirobohkan meskipun sebuah jambatan baharu dibina bersebelahan dengannya.

Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman berkata, jambatan lama itu akan menjadi dua lorong sehala kelak.

Menurutnya, projek sumbangan kerajaan negeri itu bakal menyaksikan laluan dua lorong bagi kedua-dua hala di kawasan berkenaan.

“Jambatan dulu memang agak sempit. Bila sebuah lori dan kereta berselisih, hampir bergesel. Kalau lori dengan lori memang tak lepas, salah satu terpaksa beri laluan.

“Pembinaan jambatan baru ini akan memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung berhampiran seperti Kampung Bukit Cermin, Kampung Menora, Kampung Rambai tujuh dan berhampiran,” katanya.

Beliau ditemui selepas lawatan kerja ke Sayong Lembah untuk melihat tapak cadangan pembinaan dewan yerbuka di kampung itu.

Tambahnya, pembinaan jambatan lebih luas yang dijangka siap September ini juga dapat mengatasi kesesakan di laluan tersebut khususnya ketika musim perayaan.

“Laluan ini juga akan menjadi jalan penting kerana bakal menjadi penghubung penduduk Sayong dengan Manong setelah Jambatan Manong siap dibina nanti.

“Jambatan berharga RM43 juta itu dijangka dibina dalam masa terdekat dan ia telah lama diminta penduduk. Semua projek ini bakal memberi impak positif kepada Kuala Kangsar,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan kerja pembinaan sebuah masjid baharu di Kampung Sayong Tengah dengan peruntukan RM3.5 juta dijangka dimulakan tahun ini.

-Sinarharian