GERIK: Penduduk di enam rumah di Kampung Tanjung Sejarah di sini terputus hubungan apabila jambatan menghubungkan kampung berkenaan runtuh berikutan hujan lebat berterusan lewat petang semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Zainal Abidin Abd Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 malam tadi dan anggota membuat pemantauan ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota yang membuat pemantauan di lokasi kejadian mendapati terdapat jambatan runtuh yang menghubungkan sebuah kampung yang terdapat enam rumah untuk ke laluan utama ke bandar ini.

“Bagaimanapun, tiada sebarang mangsa yang maut atau cedera akibat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Zainal berkata, anggota sudah melakukan pemantauan keadaan di sekitar jambatan runtuh bagi memastikan keadaan sekeliling selamat.

“Ia adalah satu-satu jambatan yang menjadi penghubung bagi enam buah rumah berkenaan. Pada ketika ini, pejalan kaki masih boleh melalui jambatan itu kecuali kenderaan seperti motosikal dan kereta.

“Kes terbabit sudah dilaporkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, operasi pemantauan tamat sepenuhnya pada jam 11.30 malam – berita harian