IPOH: Jambatan Sultan Yusuf di Teluk Intan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, penutupan itu dibuat bagi kerja-kerja penyenggaraan komponen  jambatan yang  masih lagi diteruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pihak kontraktor.

Menurut beliau, papan tanda jalan alternatif telah diletakkan bermula dari Taman Desa Aman (Teluk Intan FT005) manakala dari Sitiawan akan diletakkan di persimpangan Felcra Changkat Lada (A266)

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna supaya terus bersabar dan mematuhi papan tanda arah dan keselamatan yang telah disediakan di jalan-jalan yang terlibat.

“Kesulitan pada hari ini untuk kesenangan pada masa depan kita semua.  Komitmen dan kerjasama anda amatlah kami hargai serta kemaafan dipohon dari kami atas perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Baru-baru ini, Zainol di dalam kenyataannya memberitahu, jambatan itu hanya dibuka kepada kenderaan ringan dan ditutup kepada kenderaan berat melebihi dua ton.