IPOH: Perak kehilangan seorang lagi individu penting dalam perkembangan sukan bola sepak apabila Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abdul Jamil Othman meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun kira-kira jam 2.30 petang ini (Khamis).

Abdul Jamil, 54, dimasukkan ke hospital tiga hari lalu dipercayai ekoran serangan jantung.

Allahyarham juga merupakan bekas Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak sejak lebih 10 tahun sebelum dipilih sebagai Ahli Majlis PAFA bagi sesi 2015 – 2018 dua tahun lalu.

Sebelum ini, Perak kehilangan bekas Naib Presiden PAFA, Allahyarham Raja Ahmad Zainudin Raja Omar, 61, pada 9 Jun lalu dan diikuti bekas Ketua Jurulatih, Karl-Heinz Weigang, 82, empat hari kemudian kerana serangan jantung di Jerman.

Bekas Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang turut melawat Allahyarham di hospital menyifatkan beliau sebagai seorang yang sangat komited dalam dunia bola sepak negeri.

Sambil mengakui mengenali Allahyarham agak lama dan menyifatkannya sebagai seorang yang periang, Zainol berkata, Allahyarham sentiasa mengikuti perkembangan pasukan Perak dan mengikuti ke mana sahaja pasukan bermain.

“Suatu kebetulan, kita kehilangan tiga orang yang menjadi antara lagenda dalam perkembangan bola sepak Perak,” katanya kepada Suara Perak.