IPOH: Ribuan pengunjung hadir memeriahkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2017 Lembaga Air Perak (LAP) di sini pada Isnin.

9d9aebb3-0ce4-4423-a3c8-f56b4ab5f092Pengurus Besar LAP, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa sebagai tuan rumah, turut menerima kunjungan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan yang lain.

Pelbagai juadah dan minuman disediakan kepada para tetamu selain persembahan nyanyian dan tarian untuk menyerikan majlis.

Mohd Yusof ketika ditemui pemberita berkata, majlis berkenaan dianjurkan khas untuk meraikan kakitangan LAP dan keluarga mereka yang berjumlah lebih 1,500 orang.

“Setiap tahun kita buat majlis begini bagi meraikan mereka di atas usaha dan pengorbanan yang dibuat sepanjang tahun bekerja sebagai kakitangan LAP.

5147c11e-460d-4a2f-acc5-ea25f847b16f

“Cuma tahun ini pengunjung yang hadir cukup-cukup ramai, melebihi sasaran yang telah ditetapkan. Syukur Alhamdulillah, mereka semua nampak gembira hari ini,” katanya dalam majlis yang diadakan di Hotel Casuarina Meru di sini.

dc52ed8d-4c36-408a-82da-ea2bd8a603c5

Dalam majlis itu, LAP turut menyampaikan sumbangan wang zakat untuk tujuan pendidikan berjumlah RM300,000 kepada 300 anak kakitangannya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Kita juga turut memberi sumbangan duit raya kepada 26 orang anak yatim daripada Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam Ipoh Perak serta sumbangan wang tunai kepada pihak pengurusannya,” ujarnya.

Semua sumbangan itu disampaikan oleh Dr Zambry kepada penerima-penerima ketika majlis berkenaan berlangsung.