KAMPAR : Walaupun daerah Kampar masih berada dalam zon hijau kerana belum ada kes positif COVID-19, orang ramai tidak seharusnya mengambil kesempatan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mereka yang masih berdegil melanggar PKP tetap akan diambil tindakan.

“Hari ini sahaja seramai 12 orang dituduh di Mahkamah Majistret Kampar di bawah Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah2 Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kesemua lelaki itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Hasron Nazri berkata, dalam kes pertama, dua lelaki didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dijatuhi hukuman denda RM5,000 setiap seorang atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda.

“Seorang daripada mereka membayar denda manakala seorang lagi dipenjara kerana gagal membayar denda,” ujarnya.

Katanya, dalam kes kedua pula, tujuh lelaki masing-masing didenda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda dan seorang daripada mereka dijatuhi hukuman tambahan penjara 14 hari.

Dalam kes ketiga, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda manakala dua rakannya masing-masing dihukum penjara tiga bulan dari tarikh ditangkap iaitu 30 Mac lalu.

Setakat ini, daerah Kampar belum lagi mencatatkan sebarang kes positif COVID-19.