IPOH: Pengusaha kantin dan pemilik restoran diingatkan agar tidak mengambil ringan mengenai tahap kebersihan operasi bagi mengelak daripada kes keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kejadian keracunan makanan kebiasaannya berlaku apabila pengendali makanan mengambil ringan kesan negatifnya terhadap kesihatan orang ramai.

Tegasnya, tanpa disedari kualiti penyediaan makanan yang berkualiti turut bergantung kepada amalan kebersihan diri pengendali makanan yang baik.

“Penyediaan makanan yang baik, bersih dan telus adalah amat penting dan seharusnya ia menjadi salah satu nilai murni dan budaya warga Perak khususnya.

“Justeru, seminar ini adalah untuk memberi kesedaran, pengetahuan dan kefahaman untuk memilih produk makanan berkualiti, bersih dan selamat untuk mengurangkan risiko kes keracunan makanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Keselamatan Makanan 2017 anjuran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM), Jabatan Kesihatan Negeri Perak di AEON Mall Klebang,Ipoh pada pagi Sabtu.

Menurutnya, tiada yang terkecuali daripada perlaksanaan penyediaan makanan berkualiti, termasuklah restoran, gerai, hotel, kantin sekolah, kedai makan serta orang awam.

Dr Mah berkata kerajaan negeri juga sentiasa mengambil berat tahap kebersihan premis makanan di seluruh negeri secara kerap, contohnya melalui Ops Premis Makanan Bersih yang berfokuskan kepada pematuhan peraturan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Banyak perkara kecil tetapi kita ambil mudah tetapi itu yang menjadi fokus kita, contohnya makhluk perosak iaitu Lilati (lipas, lakat, dan tikus), makanan terdedah kuman, kimia dan banyak lagi jadi inilah matlamat kita, untuk membasmikan kesemua budaya pemakanan yang seperti acuh tidak acuh ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, sepanjang Januari 2017 ini sebanyak tiga kes keracunan makanan melibatkan kantin sekolah direkodkan di seluruh negeri dan 11 premis makanan telah ditutup dalam Ops Premis Makanan Bersih oleh JKN.