IPOH: Kemewahan sumber air yang merupakan elemen penting dalan kehidupan alam telah menjadikan rakyat kurang menghargai nilainya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata rakyat amat perlu menghargai air kerana tanpa sumber itu ianya boleh menimbulkan pelbagai permasalahan.

“Segalanya bermula dari air, kita lihat dari segi kehidupan seharian, pembangunan malah kita juga dicipta dari air.

“Kita perlu bersyukur, sesetengah negara langsung tiada hujan dan air merupakan masalah utama untuk mereka malah air untuk minum juga dijual dengan mahal.

“Tetapi di Malaysia, khususnya di Perak walaupun panas tetapi hujan tetap turun, kita tidak mempunyai masalah sumber air dan jangan sesekali kita mengambil mudah dengan nikmat itu, kita perlu bersama jaga dan mengsyukuri nikmat diberi,” katanya.

07f8b63f-9dfe-473f-af61-59b73eeb4324

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2017 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, SUK, di sini pada Selasa.

Tambah Dr Zambry, dalam konteks kerajaan negeri pihaknya sentiasa terus berusaha mencari kaedah berkesan untuk memelihara khazanah negeri seperti kawasan hutan dan sungai bagi memastikan sumber air terus terjamin.

“Kita menguruskan ianya dengan baik, Lembaga Air Perak merupakan antara yang terbaik dalam negara dalam pengurusan air.

“Malah ketika ini kita mempunyai hampir 50 peratus hutan simpan kekal di negeri ini dan kita menyasarkan ianya akan menjadi pada 50 peratus supaya pembangunan serta penjagaan alam dapat kita imbangi.

“Begitu juga dengan pengekalan pokok-pokok di kawasan tadahan, memang menjadi dasar kerajaan negeri tidak membenarkan kawasan tadahan ini ditebang dan rakyat Perak sekiranya terdengar ada kawasan-kawasan itu ditebang pokoknya dan sebagainya tolong maklumkan kepada kami,” jelas beliau.